Monday, October 26, 2009

Terkini : Sumber (UTUSAN MALAYSIA)

25/10/2009
Bersama membina masa depan gemilang



ASAS ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan dengan persekitaran yang lebih mencabar pada tahun 2009. Negara terus menikmati tabungan yang tinggi, lebihan perdagangan yang mantap, rizab antarabangsa yang kukuh dan kadar pengangguran yang rendah.
Sistem perbankan kekal teguh dan berupaya memastikan akses mengalami penguncupan ketara, sementara negara serantau merosot dengan mendadak. Keadaan ini menuntut pelaksanaan langkah fiskal dan monetari yang lebih agresif untuk memulihkan ekonomi. Malaysia turut mengambil langkah yang sama bagi mengurangkan kesan kelembapan ekonomi global.
Kejatuhan permintaan luar telah menjejaskan ekonomi Malaysia yang menguncup 6.2 peratus pada suku pertama. Ekonomi bertambah baik pada suku kedua dengan penyusutan yang lebih perlahan pada 3.9 peratus, kesan positif daripada dua pakej rangsangan dan dasar monetari yang akomodatif. Penunjuk utama menggambarkan ekonomi negara semakin pulih dan dijangka mencatatkan penguncupan yang lebih kecil sebanyak tiga peratus pada tahun 2009.
Kelembapan ekonomi telah memberi peluang kepada kita untuk menilai semula model pertumbuhan negara. Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara berpendapatan sederhana yang berjaya, kita tidak seharusnya berpuas hati untuk terus kekal pada tahap ini. Kini tiba masanya untuk kita memperkukuhkan daya saing jangka panjang dan berubah ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dengan memberi penekanan khusus kepada kreativiti, inovasi dan aktiviti nilai tambah tinggi.
Ini memerlukan kita memperkasa keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta memperluas aktiviti pengkomersialan produk dan perkhidmatan selaras dengan aspirasi menjadi sebuah ekonomi berasaskan inovasi.
Kita juga hendaklah meningkatkan permintaan domestik terutamanya pelaburan swasta dan mempelbagaikan pasaran eksport. Kita mesti beralih daripada kebergantungan kepada buruh asing kurang mahir kepada modal insan berkemahiran tinggi dan berbakat.
Sesungguhnya, kita perlu sentiasa komited untuk meningkatkan daya saing negara melalui langkah liberalisasi berterusan dan dasar berorientasikan pasaran serta peningkatan akauntabiliti dan ketelusan. Bagi merealisasikan matlamat ini, kita mesti melakukan anjakan paradigma, sanggup berubah dan bertindak dengan cara berbeza.
Kejayaan negara dalam mencatatkan pertumbuhan ekonomi dan mengatasi krisis yang lepas tidak mungkin tercapai tanpa sokongan seluruh rakyat. Menyedari hakikat Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan merupakan tunjang dasar kerajaan yang akan mendahulukan kehendak rakyat.
Kerajaan beriltizam merealisasikan sasaran yang ditetapkan bagi enam Bidang Kebersihan Utama Negara (NKRA) yang memberi impak langsung kepada rakyat, iaitu pencegahan jenayah, memerangi rasuah, memperluas akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan menambah baik pengangkutan awam. Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU) telah ditubuhkan untuk menerajui aktiviti bagi memastikan kejayaan pelaksanaan NKRA. Langkah ini akan memperbaiki lagi penyampaian perkhidmatan awam dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat.
Kita mesti terus bersatu, komited dan berani untuk mengatasi sebarang cabaran bagi membolehkan kita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Saya yakin bahawa Gagasan 1Malaysia akan menyatupadukan rakyat untuk berusaha dengan lebih gigih ke arah mencapai matlamat ini.
Bersama, kita membina masa depan yang lebih gemilang.
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan

No comments: